Tuesday, April 19, 2011

PROGRAM PEMBANGUNAN BOLASEPAK YNS DILANCARKAN

Barisan skuad pusat SK Undang Rembau
DALAM usaha memastikan Negeri Sembilan tidak ketandusan pemain bola sepak berbakat dan mampu menggalas cabaran pasukan negeri pada masa depan, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) bersama Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), melancarkan Program Pembangunan Bola Sepak (PPBS) membabitkan kategori bawah 10, 12 dan 18 tahun.


Sebanyak 16 sekolah di seluruh negeri itu dipilih sebagai pusat latihan membabitkan 260 peserta yang diberi bimbingan sepenuh masa oleh jurulatih bertauliah disediakan PBNS.

Pada awalnya seramai 2,160 pemain dipilih menerusi ujian namun hanya 260 layak menyertai program berkenaan dan 16 sekolah yang dipilih menjadi pusat latihan itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pedas, SK Undang Rembau, SK Seremban Jaya, SK Dato Akhir Zaman Rantau, SK Yam Tuan Itam Terachi, SK Senaling, SK Bandar Baru Serting, SK Serting 3 Felda, SK Tunku Besar Tampin, SK Jelai 1 Felda, SK Kampung Baru Sirusa dan SK Panglima Adnan Port Dickson serta SK Kuala Klawang.


Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pula membabitkan tiga sekolah iaitu SMK Tuanku Ampuan Durah Seremban, SMK Za`aba Kuala Pilah dan SMK Dato' Abdullah Kota Rembau.

Bagi memastikan keberkesanan program ini menjelang 2012, pemain terbaik daripada bawah 12 tahun akan diserap ke SMK yang dipilih sebagai pusat latihan manakala pemain bawah 18 tahun pula akan diserapkan ke program pelapis pasukan negeri.


Selain manual latihan disediakan panel kejurulatihan, pemain yang menyertai program ini dikehendaki menghadiri sesi ujian kecergasan dan kemahiran setiap bulan manakala mereka yang gagal dan tidak mencapai tahap dikehendaki, bakal digugurkan daripada program berkenaan dan digantikan dengan peserta lain.

Mereka juga akan didedahkan dengan beberapa perlawanan serta kejohanan jemputan tempatan.


Majlis pelancaran program berkenaan disempurnakan Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan di Pusat Sukan Paroi.

No comments:

Post a Comment